Senin, 19 Desember 2011

Ketenangan Jiwa


         Ketenangan jiwa membawa erti seseorang itu aman dan tenteram, tidak gelisah, tidak runsing, lapang fikiran, tidak diganggui, mantap, stabil, berasa lega, tidak risau dan gundah.
Seorang yang mempunyai jiwa yang tenang ia akan menjadi manusia yang selesa hidupnya, bahkan keadaan dirinya. Tidak runsing apabila hatinya tidak terganggu, ia akan dapat membuat kerja dengan baik dan teratur, samada kerja-kerja itu berbentuk tugasan harian ditempat  kerja ataupun kerja-kerja dirumahnya atau amalan ibadat yang dilaksanakan setiap hari.
         Sebaliknya bagi orang yang mengikut hawa nafsu mereka mencari ketenangan melalui proses yang salah yang tidak direstui oleh syarak seperti minum-minuman yang memabukkan, menghidu gam, menghisap dadah, berseronok dengan wanita-wanita yang bukan isterinya, kesan dari perbuatan itu, mereka dapati kehidupan yang tidak selesa sentiasa dihantui dengan perasaan bersalah, hal yang demikian menyulitkan lagi keadaan yang sedia ada.
         Sesungguhnya untuk mencapai ke arah jiwa yang tenang, ia bukan suatu yang mudah dan bukan pula suatu yang mustahil. Untuk mendapatkannya ia perlu diusaha, dilatih bersungguh-sungguh secara berterusan dan aktif setiap hari melalui proses bimbingan dan panduan ke atas diri individu seperti membina sikap positif, sebagai contoh ” bertafakur “, seseorang memerlukan suasana yang tenang dan sunyi. Fikiran dikosongkan daripada peristiwa hidup. Sentiasa mengingati kuasa Tuhan. Tubuh badan berasa santai dan rehat secara fizikal dan emosional. Insya Allah jika diusahakan akan berjaya. Selain dari pegangan dan amalan agama boleh membantu individu mendapatkan ketenangan. Agama memberi kekuatan iman dan keteguhan jiwa dengan adanya kepercayaan kepada kuasa dan pertolongan Tuhan. Dalam Islam sembahyang lima waktu dan sembahyang sunat boleh melegakan fikiran serta memberi harapan kepada individu berkenaan. Wirid, berzikir, membaca Al-Quran boleh membantu menenangkan hati. Nikmat yang dapat dirasai melalui perkara-perkara tersebut ialah ketenangan batin dan ketenteraman jiwa. Pengalaman rohaniah ini membina kekuatan iman. Zikir mengajar individu supaya bertaqwa kepada Tuhan.
Firman Allah dalam surah Ar-Ra’du ayat 28
Maksudnya : ” Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati. “
Sebenarnya hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram kerana selalu mengingati Allah diwaktu ditimpa malapetaka. Mereka ingat kepada Allah dan cepat insaf dan memeriksa kekhilafannya agar dapat diubahnya dimasa akan datang. Oleh sebab itu hilanglah dukacitanya berganti dengan gembira dan mengharapkan kurniaan Allah. Begitu juga jika mereka mendapat anugerah (nikmat), mereka tidak sombong, malahan mengucapkan terima kasih kepada Allah. Sebab itu hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram baik diwaktu susah ataupun gembira. Kesenangan hati itu ialah kebahagiaan yang sebenarnya. Sebab itu dalam Islam amat dipentingkan sekali menegakkan sembahyang lima kali sehari semalam kerana dalam sembahyang itulah kita mengingati Allah dan membersihkan jiwa. Nabi mengatakan bahawa sembahyang itu tempat ketenangan jiwanya dan kesenangan hatinya. Oleh yang demikian senanglah hati menghadapi segala kemungkinan dan kesulitan dalam masyarakat hidup di dunia ini. Firman Allah dalam surah Al-Fajr ayat 27-30 yang bermaksud :
” Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuasa hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (disisi Tuhanmu), serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku  yang berbahagia, dan masuklah ke dalam syurgaku. “

Tidak ada komentar:

Posting Komentar